MARIONETTE - CIK BAJU KURUNG

Hai gais. Sorry amek masa yang terlalu lama untuk habiskan story ini.

Tak mintak banyak. Sila share supaya yang tengah menunggu sambungan story ini dapat baca. 😥

Tajuk : MARIONETTE

Nukilan : CIK BAJU KURUNG

Usia perkahwinan Senah dan Harun telah mencapai 7 tahun. Hasil dari perkahwinan mereka, Senah dan Harun dapat menimang cahaya mata perempuan yang dinamakan Edayu. Comel, manis budaknya. Keluarga mereka bertambah bahagia walaupun umur masing-masing menginjak ke 40 an.

Tiada lagi pertengkaran hal zuriat, tiada lagi kemurungan di dalam rumah tangga mereka bertiga. Edayulah penyebabnya. Seorang budak berlesum pipit manis di pipi gebunya. Disebabkan masa Edayu banyak bersama Senah, Senah sahaja yang terlalu rapat dengan Edayu, memandangkan Senah suri rumah sepenuh masa. Harun pula berusaha keras untuk menyenangkan keluarganya. Masa Harun terhad. Tetapi bila cuti atau ada masa yang terluang pasti Harun tidak membazirkannya dengan benda yang tidak berfaedah. Sebab baginya masa itulah yang dia perlu ada untuk bergembira dengan Senah dan Edayu.

Sehinggalah Edayu membesar dan menjangkau umur 4 tahun. Tingkah laku budak kecil memang mencuit hati sesiapa pun yang bergelar manusia. Begitulah apa yang dirasai Senah dan Harun.

Tetapi bahagia itu sementara sahaja, dugaan mendatang tanpa Senah bersedia. Anak yang dirangkul, didodoi dari bayi itu telah dilanggar lari oleh seorang lelaki yang tergesa memandu kereta mahu pulang ke rumah yang tidak berapa jauh dari rumah Senah. Ketika itu pula Senah tengah tumpu pada semaian bunga pertamanya. Edayu dilepaskan bebas pada petang itu, kerana Senah mahu anaknya dapat berdikari dan bebas bila bermain di luar.

Tapi Senah tidak menyangka itulah hari terakhir dia dapat bersuka ria bersama Edayu. Edayu dilanggar oleh kereta itu dihadapan matanya sendiri. Terduduk Senah apabila tubuh anaknya melambung tinggi, dan terkulai apabila terkena pada tiang lampu ditepi jalan itu. Tubuh Edayu tidak ubah seperti anak patung yang dilambung-lambung oleh budak nakal.

Senah berlari mendapatkan Edayu yang sudah tidak bernyawa lagi. Dia meraung sekuat hati. Sudahlah lama dia menunggu zuriat ini, kini tidak puas lagi dia meluangkan masa dengan Edayu, Edayu sudah kembali meninggalkannya keseorangan. Kereta tadi pula meninggalkan Senah yang masih lagi meratap dan menyandar di tiang lampu tepi jalan itu.

Sehinggalah Harun balik dan melihat keadaan rumahnya gelap pada malam itu. Pergi mana pula isterinya, jarang isterinya pergi tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Ketika belok ingin memasuki parking keretanya. Harun perasan ada sesosok tubuh yang tidak berdaya sandar di situ.

Hari pula sudah lewat malam, siapa pula yang mengemis di luar rumahnya ini. Lampu kereta dihalakan pada tiang lampu dihadapan rumahnya itu.

Sangkaannya meleset. Harun terkejut apabila mendapati isterinya Senah bersandar di situ. Dengan Edayu yang terkulai layu kebiruan. Laju Harun berlari mendapatkan Senah dan mengegarkan tubuh Senah sekuat hatinya.

“Senah! Bangun Senah! Apa sudah jadi dengan awak ni!” tanya Harun sambil mengoncangkan tubuh Senah supaya Senah sedar apa yang dilakukannya.

“Abang... Anak kita bang, dah tiada...” Senah membalas lemah.

“Apa! Apa kau buat ni Senah? Kau tak sayang anak ke Senah?”

“Saya minta maaf abang. Saya cuai jaga anak. Petang tadi saya lepaskan Edayu bebas bermain di halaman. Tak sangka dia terlepas ke jalan. Dan... Sebuah kereta terlanggar Edayu. Kereta itu pemiliknya tidak berapa jauh dari kawasan sini abang. Tetapi anak kita dah tiada abang...”

Harun terduduk dan meraup wajahnya, dia masih lagi tidak puas bermain dengan anaknya. Setiap hari Harun berusaha untuk pulang awal demi Edayu. Kini, terasa bagai mimpi pula apabila sekelip mata Edayu pergi tanpa dia di sisi.

Harun mengenggam penumbuk mahu mencari pemilik kereta yang telah membuat anaknya arwah sekelip mata. Tetapi Senah terlebih awal menggelengkan kepalanya agar Harun faham maksudnya itu. Tiada gunanya apabila marah menguasai diri, tidak juga dapat kembalikan anaknya.

Harun bangun dan memapah tubuh isterinya yang tidak berdaya itu. Tubuh badan Edayu dipeluk erat sebelum uruskan jenazah Edayu esok. Walau macam mana pun Harun kena kuat juga untuk isterinya yang masih lagi tidak dapat melepaskan Edayu pergi.

Keesokan hari, Harun menghantar Edayu ke hospital berdekatan. Dia juga sebenarnya tak mampu untuk uruskan. Dia serahkan semuanya pada pihak hospital. Hatinya terluka kecuaian isteri, sedih perasaannya ketika ini tidak mampu untuk dia melihat langsung Edayu. Dia takut dia tidak mengizinkan Edayu pergi.

Langkah kaki Harun melangkah perlahan meninggalkan perkarangan hospital. Esok dia akan datang semula untuk mengambil jenazah Edayu untuk buat kali terakhir, dan tatapan terakhir. Semoga hari esok dia akan kuat untuk menghadapinya.

Terus sahaja Harun pulang ke rumah memandangkan tiada sesiapa yang menjaga isterinya. Masing-masing keluarga jauh, mereka juga tidak memberitahu keluarga masing-masing supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan yang sedia ada ni.

Sampai sahaja di rumah terus dilaungnya nama isterinya.

“Senah, oh Senah?”

“Ya...”

“Awak dekat mana?”

“Dapur...”

“Senah, awak tak boleh macam ni, abang masih perlukan Senah.”

“Saya perlukan Edayu bang untuk temankan saya hari-hari dirumah ini apabila abang tiada.”

“Senah... Awak kena kuat. Abang kan ada.”

“Tak sama bang. Edayu lain...”

Harun tidak dapat mengeluarkan apa-apa perkataan pun dari mulutnya. Lalu didakapnya tubuh kecil Senah. Agar Senah rasa apa yang dia rasa. Hidup ini perlu diteruskan juga. Bisiknya perlahan di telinga Senah. Mereka terlelap di meja makan.

Pagi-pagi lagi Senah sudah bersiap untuk berjumpa dengan Edayu. Senyumannya tidak sekelat semalam.

“Awak dah bersedia ke?”

“Sudah. Tak sabar saya nak jumpa Edayu bang, rindu sangat...”

“Senah... Awak kena belajar menerima,” ujar Harun dan berlalu pergi menuju ke kereta.

Senah masih lagi tersenyum-senyum. Ceria betul dia apabila mahu berjumpa Edayu. Harun menggelengkan kepala, adakah dia kuat untuk memujuk Senah nanti.

Sampai sahaja di perkarangan hospital, Senah dulu yang turun dari kereta. Semua orang yang lalu-lalang ditegurnya rancak. Harun masih lagi diam membisu. Mereka berdua menuju ke bilik mayat dan meminta untuk melihat Edayu. Sewaktu Edayu di keluarkan dari peti sejuk tempat meletakkan mayat itu, Senah terus memeluk tubuh yang pucat itu. Diangkat, didodoi seperti Edayu mahu tidur. Air mata Senah mengalir deras, laju menuruni pipi tanpa henti. Harun melihat sahaja, dia mahu isterinya peluk puas-puas jasad itu sebelum dikebumikan.

“Sayang, tengahari ni nak dikebumikan dah Edayu. Sayang, awak kena belajar menerima dugaan yang mendatang...” Harun berkata dalam sebak. Dipeluknya tubuh isteri kesayangannya itu.

Senah mengangguk lemah, dan meletakkan kembali tubuh Edayu di dalam peti sejuk itu. Senah berjalan keluar tanpa menoleh lagi. Harun mendapatkan kakitangan disitu untuk menguruskan jasad Edayu. Seperti terngiang-ngiang Edayu panggil meminta tolong. Tapi itu dulu, bukan sekarang....

**

Sebulan berlalu, ayat yang sama setiap hari Senah ulangi adalah Edayu, sana sini Edayu. Harun mula sudah jemu untuk melayan perangai Senah yang masih tidak boleh ‘move on.’ Kali ni, Harun mula kerap balik lewat malam, kadang-kadang sehinggakan 2 3 hari tidak balik ke rumah. Dia mahu Senah yang dulu. Yang ceria dan tidak kusut seperti sekarang. Pakai, makan, Harun sudah tidak dijaga lagi. Yang Senah tahu hanya masak bubur kesukaan anaknya. Walaupun berkali-kali Senah masak dan tiada siapa yang makan, tetapi tetap juga dilakukan.  Dapur mula bersepah dengan pinggan, periuk tak basuh sehinggakan berulat.

Harun mula menggelengkan kepala apabila dia menuju ke dapur melihat keadaaan Senah begitu. Dia sudah berputus asa untuk hadap semua ni.

"Senah, sampai bila awak nak macam ni?"

Sedikit pun Senah tidak beralih arah, tingkah laku Senah seakan memangku anaknya Edayu. Ibarat Senah mendodoikan anaknya diatas riba. Harun dihadapannya tidak diendahkan. Tiada lagi gelak tawa Senah penghibur hati Harun.

Harun menarik kerusi di meja makan itu dan duduk menghadap Senah. Ditenungnya Senah dalam-dalam, hati kecilnya terasa tidak berbahagia seperti mula-mula dahulu. Harun tertunduk sepi tanpa kata-kata yang mampu boleh mengubahkan Senah yang hidup di dunianya sendiri. Harun bangun melangkah pergi meninggalkan Senah yang tidak lagi peduli halnya, mahupun menemaninya ke pintu rumah untuk keluar bekerja.

Dalam diam, jiran yang telah melanggar Edayu itu sentiasa memerhati Senah dari kejauhan. Dia sentiasa menunggu masa Harun pergi kerja, barulah dia mahu berjumpa Senah, untuk menolong Senah jumpa kembali anaknya, walaupun anaknya sudah mati. Pemandu itu sebenarnya rasa serba salah, tapi belum sempat untuk dia menyuarakan kemaafan pada pasangan suami isteri itu.

Harun meninggalkan sahaja perkarangan rumahnya itu. Pemandu kereta itu menulis satu nota kecil yang penuh harapan agar Senah akan maafkan dia. Dia tidak menyangka sehingga begini nasib wanita itu. Dia tahu rumah tangga Senah sudah pasti sedang bergolak. Nota kecil itu dia meletakkan di tempat Senah bersandar semasa kemalangan itu berlaku. Nasibnya baik sebab Senah belum keluar rumah lagi, jadi sempat pemandu itu tinggalkan nota itu dan berlalu pergi untuk meninggalkan kawasan itu. Hadirnya kesitu untuk mencari mangsa buat Nek Maom. Itu sahaja tugasnya. Tugas itu menjadi mudah apabila budak bernama Edayu itu bermain di tengah jalan. Dilanggarnya tanpa belas, kerana tugas yang diamanahkan. Tetapi, sikap belas kasihan itu ada apabila melihat Senah yang sudah pun seperti meroyan, gila dan tak terurus itu membuatkan hati kecilnya ingin membantu, pemandu itu tahu Nek Maom pasti boleh lakukan ini.

Nek Maom mahukan roh satu orang setiap hari supaya dia kekal untuk hidup. Roh orang yang dilanggar atau pun dibunuh. Supaya tidak putus kehidupannya walaupun sudah tua. Biarpun usia menjangkau beratus tahun. Selagi ada roh untuk diganti, selagi itu dia akan terus hidup. Pemandu itu lakukan dengan rela disebabkan dia terhutang budi kerana Nek Maom telah hidupkan kembali ibunya.

Pemandu itu menyelitkan nota kecil itu bertulis,

---

Buat Senah,

Senah, aku minta maaf terlanggar anak kau. Aku tergesa-gesa ada hal hari tu. Aku tahu aku salah. Aku harap kau maafkan aku yang cuai dan tidak bertanggungjawab ni. Aku mahu tolong kau, aku harap kau terima pertolongan ini. Walaupun tidak seberapa, tetapi berbaloi untuk kau.

Pergilah alamat ni :
No 000, Nek Maom,
Jalan Gelapis.

Sampai sana kau akan lihat sebuah rumah sahaja di tengah hutan.

Jangan marahkan aku Senah, aku betul-betul tidak menyangka sehingga begini kesannya pada kau.

Aku minta maaf.
Aku yang bersalah.
---

Senah tahu Harun sudah mula jemu dengan perangai dia. Tapi apakan daya, dia juga tidak tahu macam mana mahu terangkan pada Harun, apa yang dia mahu. Senah berjalan keluar dan menuju ke tempat dia kehilangan Edayu. Senah mengusap tiang tempat dia bersandar sewaktu Edayu sudah tidak bernyawa lagi. Matanya kabur menahan takungan air mata yang tunggu masa untuk merembes keluar.

Senah bersandar di tiang itu. Ketika dia mahu meraba-raba tanah supaya selesa untuk dia duduk situ, dia perasan ada sepucuk nota kecil yang dilipat kemas seperti memang mahu diberikan padanya. Anggapannya benar apabila di dalam surat itu tertulis nama dia, walaupun tulisan itu tidaklah berapa kemas seperti kelam kabut menulis. Tapi dia masih lagi boleh membacanya dengan jelas.

Jantungnya berdegup kencang apabila hampir selesai dia membaca surat itu. Terasa bagai semua mimpi dan mustahil anaknya boleh hidup kembali. Tetapi, dia kena cuba juga. Mana tahu Nek Maom itu betul-betul boleh buat anaknya hidup kembali. Gembiranya hati seorang ibu tak terkata. Laju Senah bangun nak bersiap, dia tidak mahu lepaskan peluang ini. Bukan mudah peluang sebegini akan datang.

Dari kejauhan pemandu itu tersenyum melihat tingkah laku Senah yang seperti budak dapat gula-gula. Hatinya berasa senang apabila dia boleh membantu Senah atas kesalahan yang disengajakan itu.

**

Laju sahaja Senah bersiap untuk ke tempat yang tentera alamat di dalam coretan nota pendek itu, yang dia tidak tahu siapa pengutusnya. Dengan penuh pengharapan yang menggunung, dia harap menjadi. Sebab dia juga bukan mudah untuk percayakan benda-benda tahyul begini.

Tanpa pengetahuan Harun, Senah meninggalkan rumah. Nasibnya baik apabila dia pandai memandu dan Harun pula tinggalkan kereta di rumah. Mungkin Harun fikir dia mahu gunakan kereta untuk pergi tenangkan fikiran. Huh! Tidak mungkin akan berlaku begitu tanpa Edayu di sisi. Ini pun dia mahu mencuba nasib, mana tahu nasib memihak padanya.

Senah bukanlah mahu apa-apa pun. Dia cuma mahu Harun faham yang dia masih memerlukan Edayu. Tak semudah perkataan yang keluar dari mulut Harun, susah baginya anak yang dikandung 9 bulan, meninggal begitu sahaja. Dia masih tidak boleh terima hakikat ini. Berat untuknya walaupun dia cuba redha. Terima takdir dengan rela. Tapi perasaan sedih  itu tetap ada. Dalam apa jua cara. Kali ni dia nekad akan pergi ke situ. Walau apa pun jadi atau Harun menghalangnya.

Senah membawa sedikit wang dan pakaian anaknya, mana tahu jika diperlukan oleh Nek Maom. Itu sahaja yang ada. Senah laju menuju ke kereta, dia mahu sampai ke tempat itu sebelum malam. Dia juga tahu takut. Laju dia memandu, dan keputusannya muktamad. Apa nak jadi, jadilah.

Memasuki kawasan hutan, dia memandu tanpa arah tuju sehinggalah jumpa jalan mati di dalam hutan kecil itu yang muat-muat sahaja jalan itu dengan keretanya. Sungguh mana datangnya rumah kayu yang cantik berwarna putih. Bersih. Perlahan-lahan Senah turun dari keretanya, dan menjejakkan kaki ke laman rumah itu. Melilau matanya melihat-lihat takut ada orang lain yang mengekori. Hatinya lega tiada siapa, pantas Senah berjalan menuju ke pintu utama.

"Tokk, tokk, tokk...kreeekkkkkk...."

Pintu terbuka dengan sendirinya seperti mengalukan kedatangan Senah.

Senah masuk tanpa was-was, mana datang keberaniannya pun dia tidak tahu.

"Apa yang kamu mahu aku bantu?" Seorang  nenek tua berdiri di satu sudut rumah itu.

"Erkkk, nek saya dapat alamat nenek dari nota ini." Senah menghulurkan surat itu pada nenek itu. Tidaklah huduh Nek Maom ni, malah nampak muda daripadanya yang beranak anak seorang ni.

Nek Maom mencapai surat itu. Dia tahu ini mesti tulisan tangan budak upahannya itu. Dia tahu budak itu rasa serba salah apabila dia meminta pertolongan untuk meragut nyawa sesiapa sahaja. Nek Maom tersenyum dan dia kembalikan surat itu pada Senah.

"Mari..."

Senah mengikuti sahaja langkah kaki Nek Maom. Sungguh dia berasa Nek Maom baik dan akan membantunya. Tidak salah dia ikut kata hatinya.

Mereka berdua menuju ke bilik bawah tanah yang diterangi cahaya matahari dari luar. Di tengah bilik itu ada keranda yang siap didalamnya mempunyai tilam empuk dan bersih sangat. Senah tak tahu apa lagi yang harus dia buat. Ini sahaja jalan untuk dapatkan anaknya kembali.

Senah dan Nek Maom berdiri bertentangan, manakala keranda itu berada  di tengah-tengah.

"Aku perlukan baju anakmu dan sedikit wang. Adakah kamu sudah bawa?"

"Ya nek. Aku sudah membawanya."

Senah menghulurkan baju Edayu dan duit yang tidak tahu berapa jumlahnya seperti yang diminta Nek Maom.

"Apabila aku buat perkara ini, kamu tidak boleh melihat. Eloklah, kamu balik dahulu, hari ketiga kamu datang semula ambil anakmu."

"Adakah ini akan menjadi nek?"

"Kamu boleh percayakanku. Bayar aku, aku akan menunaikan apa yang kamu mahu, kalau tidak menjadi, aku akan pulangkan semula duit kamu."

Senah mengangguk tanda setuju. Dia pulang dengan perasaan tidak sabar. Hal ini tidak akan dia bagitahu Harun sehinggalah hari untuk mengambil anaknya. Dia mahu buat kejutan buat Harun. Laju dia melangkah ke kereta dan memandu keluar dari hutan  itu. Sekejap sahaja dia sudah ke jalan besar menuju ke rumahnya. Tadi semasa mahu pergi bukan ke main lagi lamanya terasa di dalam hutan itu.

Dia sampai ke rumah hampir senja. Dilihatnya Harun berdiri di luar rumah. Senah memberi senyuman buat Harun yang masih setia di sisinya itu. Dia tidak menyangka Harun sabar dengan perangainya.

"Hai abang. Mari abang kita makan luar ye malam ni."

Harun yang berdiri di situ terpinga-pinga apabila Senah mengajaknya begitu. Sudah lama Senah tidak macam tu.

"Sayang. Awak betul-betul okay ke ni? Awak tak mengigau kan?"

"Betul lah abang. Jum. Cepatlah, saya lapar ni."

"Baiklah, jum..."

Diorang menikmati makan malam berduaan seperti mula bercinta dahulu. Harun turuti sahaja, sudah lama dia tidak melihat Senah bahagia seperti ini.

"Abang balik ni saya nak kemas rumah ya. Abang berehatlah ya."

"Awak betul-betul dah baik ke ni? Awak okay ke? Kalau penat kemas sahaja esok."

"Sayang dah okay abang... Jangan risau dah ya?"

Usai makan malam itu, mereka berdua gembira pulang ke rumah. Harun menolong Senah mengemas rumah, dan bergurau senda seperti baru berkahwin. Sudah lama penghuni rumah ini tidak ketawa. Kali ini Harun harap ia akan kekal begini walaupun tanpa Edayu.

3 hari sudahpun berlalu,

Keterujaan Senah membuatkan Harun tertanya-tanya. Apa rancangan isteri kesayangannya itu.

"Ada apa-apa yang saya tak tahu ke sayang?"

"Ada. Tapi saya nak buat kejutan untuk awak. Maaf sebab saya berahsia dalam 3 hari ni..."

"Oh, tak mengapa. Abang ingat apalah tadi. Apa kejutannya sayang?"

"Nanti abang ikut sayang pergi satu tempat ni ya. Tempat yang boleh kembalikan kebahagiaan kita berdua..."

Harun memikirkan mungkin tempat hari pertama diorang bertemu atau tempat seperti orang dating mungkin. Harun mengiyakan sahaja.

Senah menyiapkan dirinya dan menunggu Harun di dalam kereta.

"Sayang awak nak memandu ke?"

"Ya, saya memandu. Abang duduk sahaja di sebelah ye?"

"Baiklah. Abang ikut sahaja..."

Senah memandu sambil tersenyum-senyum. Harun menjeling sahaja dengan harapan kejutan itu bakal bahagiakannya juga.

Sampai ke destinasi Senah pantas berlari dan memasuki rumah Nek Maom itu. Harun terkejut, mana mungkin rumah di tengah hutan yang semak samun ini. Mana Senah tahu rumah ini. Banyak pula timbul persoalan di fikirannya.

Senah menuju ke bilik bawah tanah itu diekori Harun yang terpinga-pinga.

"Hai Nek Maom, saya bawak suami saya, Harun..."

Nek Maom cuma tersenyum membalas riak wajah Harun seperti tidak puas hati itu.

Senah berdiri di sebelah keranda itu manakala Harun duduk di tangga yang menghadap keranda usang itu.

"Tadaaa... Mari tengok dan bagitahu apa yang kamu berdua fikirkan..."

Senah melangkah perlahan menuju ke sebuah keranda yang berhadapan dengan Nek Maom, hatinya gembira tidak terkata dan berlagu riang. Ini yang ditunggunya, Harun melihat telatah Senah yang menapak perlahan itu, hendak dihalang Senah tu isterinya. Mana mungkin dia ingin melihat Senah bersedih dan kemurungan. Harun tidak mahu keluarga yang dia bina ini menjadi kenangan. Jadi lebih baik dia diamkan diri dan melihat apa yang akan berlaku seterusnya jika itu yang boleh membahagiakan isterinya.


Terbaring kaku dihadapan Senah satu anak patung yang lengkap berpakaian baju anaknya. Sebak hatinya apabila memandangkan itu cumalah anak patung yang tidak bernyawa, yang tak mungkin sama seperti anaknya.

“Saya fikir Nek Maom akan bangunkan anak saya, ermm…”

Tak sempat Senah habiskan lagi perbualannya, laju Harun menyampuk.

“Saya fikir itu hanyalah anak patung bodoh yang awak dah membazirkan masa dengan mempercayai kata orang tua ini Senah. Macam mana keadaan sekalipun. Ia tetap anak patung bodoh.”

Senah dan Nek Maom berpandangan sesama sendiri. Tapi riak wajah Nek Maom terlihat satu senyuman kepuasan kerana dia dapat membantu pelanggannya itu. Terpulang sama ada Senah dan Harun mahu atau tidak. Tapi apa yang dia lakukan semuanya kerana kesiankan Senah, bukan sebab Harun yang tidak mahu percayakan benda seperti ini.

“Belum cuba belum tahu Senah, peganglah jangan malu. Dia tetap anak kamu Senah,” ujar Nek Maom seakan memujuk hati Senah yang seperti sedih apabila melihat fizikal anak patung yang sedikit huduh itu.

Harun menundukkan wajahnya, terpaksa akur dengan kedegilan Senah yang masih lagi mengharap Edayu hidup semula.

Senah menyuakan tangannya untuk memegang anak patung itu.

“Senah! Berhenti, jangan sentuh, kita tak tahu apa yang dirancang oleh orang tua ini,” jerit Harun geram.

“Abang, bagi saya peluang kembalikan anak saya semula.”

“Kenapa susah benar awak mahu percayakan abang Senah? Kita akan ikhtiarkan cara lain. Abang akan bawa awak pergi bercuti, jika ketenangan yang awak mahukan, sayang.”

Senah tidak mengendahkan apa yang Harun cakapkan, sebab Senah tahu akhirnya dia juga yang akan tanggung seorang diri memandangkan Harun sibuk bekerja.

Perlahan tangan Senah menyentuh tangan anak patung itu. Dan…

Tangan Senah ditarik Edayu yang baru bangun dari keranda itu. Perasaan yang tidak dapat nak digambarkan oleh Senah apabila hangat tangan Edayu itu kembali terasa.

“Oh Tuhan, anak ibu! Ibu rindu anak ibu ini.” Senah menangis dan diciumnya pipi gebu Edayu bertalu-talu, dan diusapnya belakang badan Edayu.

Nek Maom merasa satu kepuasan apabila wajah Senah kembali tersenyum riang. Ya, anak patung itu bila bersentuhan dengan manusia dia akan hidup seperti manusia lain. Senah peluk erat tubuh anak patung huduh itu. Didukung dan di lambungkan ke udara seperti kebiasaan yang dia lakukan saat Edayu masih hidup. Senyumannya tidak lekang di bibir, akhirnya kemahuan dia menjadi kenyataan, ada gunanya dia nekad membuat keputusan ini tanpa bantuan Harun.

“Marilah Harun, dakaplah anakmu itu, aku tahu kamu juga rindu,” pancing Nek Maom dengan senyumannya lebar.

Senah pula tidak putus-putus gumul pipi gebu anaknya itu, kejap-kejap dijelingnya Harun yang berada di tangga rumah Nek Maom itu. Dengan harapan Senah berharap Harun sudi datang dekatinya dan memegang Edayu yang hidup semula ini. Senah tahu Harun pasti merindui Edayu, walaupun Harun tidak tunjuk kecewanya dia dengan kejadian ini.

Tapi pada pandangan Harun, itu cuma anak patung huduh sahaja. Malah jelas sekali anak patung itu terkulai, tidak bergerak langsung, dan tidak membalas pelukan saat Senah melambungkan anak patung itu. Ia tidak sama seperti Nek Maom dan Senah bayangkan. Tangan dan tubuh anak patung itu penuh dengan kesan jahitan dan kain perca yag ditampal-tampal.

Harun menapak perlahan-lahan menghampiri Senah yang masih leka itu lalu Harun menghulurkan jarinya untuk menyentuh tangan anak patung yang kecil itu.

Saat sentuhan itu terkena pada jari jemari anak patung itu, bunyi tulang jari bergerak, membuatkan Harun berpaling pada wajah anak patung itu, bertambah kaku lidah Harun untuk meneruskan kata-kata apabila anak patung itu seiras muka anaknya dan berpaling pada Harun, membuatkan Harun terkejut dan menarik tangannya semula.

“Ayah!” terngiang jelas sepintas lalu suara Edayu menjerit.

“Senah, letak balik anak patung itu, itu bukan Edayu! Kita fikirkan cara lain dahulu ye?” jerit Harun memujuk dan mengundurkan langkahnya setapak demi setapak ke belakang.

“Tidak! Ini anak kita abang, percayalah sayang tak tipu. Nek Maom terima kasih banyak kembalikan nyawa anak saya. Ambil duit ini, sebagai upah dan lebihnya sebagai tanda terima kasih saya pada Nek Maom kerana menunaikan permintaan saya.”

Senah berlari meninggalkan Nek Maom yang tersenyum dan Harun yang masih lagi terpinga-pinga dengan kelakuan Senah yang terus menghilang menuju ke kereta. Tidak sempat Nek Maom membalas, Senah sudahpun menghilang.

“Tahniah Harun, sebab kamu sudah dapat anakmu kembali. Dan percayakanlah aku, anak itu milik kamu berdua sahaja. Cuma ada satu sahaja kebenaran yang tak akan berubah, saat didalam rumah Edayu sama seperti anak lain, berlari, makan, bermain, tetapi jika diluar rumah, Edayu hanyalah anak patung huduh dan tidak bernyawa yang kamu gelarkan tadi.”

Harun mengangguk tanda memahami apa yang Nek Maom cakapkan. Kali ini Nek Maom mahu ikut mereka pulang ke rumah bagi memantau situasi jika Senah seorang dirumah. Nek Maom risau Senah tidak boleh terima hakikat jika Edayu tidak ada dan bertukar patung semula. Jika pintu mereka bergril mungkin selamat sedikit, Harun boleh kunci dari luar.

Sampai sahaja Senah di rumah, laju tapak kaki Senah menaiki tangga ke bilik atas menuju ke bilik Edayu. Mungkin mahu menidurkan Edayu, Harun mampu perhatikan sahaja gerak langkah isteri kesayangannya itu.

Nek Maom mengusap bingkai gambar Harun sekeluarga. Ini takdir Harun, mungkin dengan cara ini mereka kembali bahagia.

“Harun, biarkanlah isteri kamu begitu buat masa ini, adakalanya untuk kebahagiaan bersama juga. Aku akan bagi kamu satu jam pasir yang wajib kamu pusing apabila pasirnya tinggal sedikit supaya roh Edayu kekal begitu di dalam tubuh anak patung itu. Aku harap kamu faham, jika jam pasir itu pecah, maka anak patung itu akan kekal sebagai anak patung, tiada lagi roh anakmu di badan anak patung itu,” ujar Nek Maom dan berlalu pergi keluar dari rumah dan menghilang.

Harun hanya sempat mengangguk dan mengiyakan sahaja apa yang dipesan Nek Maom.

Berbulan-bulan berlalu, hujan panas silih berganti, tiada yang kekal abadi tetapi cumalah peganti..

Begitulah apa yang dilalui dan dilakukan oleh Harun, setiap saat jam pasir halus itu akan sentiasa menuruni sedikit demi sedikit, tanpa jemu Harun akan memusingkan kembali jam pasir itu. Tidak pernah leka sedikit pun demi isteri tersayang. Demi melihat senyuman terukir di bibir Senah yang dia puja dalam diam.

Sehinggalah hidupnya rasa seperti tidak normal seperti orang lain, tanggungjawap Senah pada Harun pula mula terabai, tiada lagi baju kerja yang sudah disiap gosok, makanan yang disediakan atas meja kecil itu, tiada lagi baju disusun kemas. Segalanya Harun kena uruskan sendiri. “Cukup! Cukuplah, yang pergi tidak akan pernah kembali,” jerit jiwa Harun yang mula memberontak.

Baginya Senah perlu diajar, walaupun Harun bersetuju Edayu sebegitu. Harun sudah mula menasihati dan memperingatkan Senah yang dia itu ada suami yang harus dijaga, tetapi Senah masih lagi tiada perubahan. Harapan yang diharapkan tidak akan berlaku seperti dahulu walaupun Edayu sudah kembali. Malah hubungan Senah semakin terlampau rapat dengan anak patung yang tidak bernyawa itu.

Harun terpaksa mengunakan kuasa veto seorang suami, cukuplah peluang dan masa yang sudah diberikan pada Senah. Pertengkaran mereka hebat, Harun mengungkit segala apa yang dia pertaruhkan pada anak patung hodoh itu dan janjinya pada Nek Maom. Pertengkaran itu semakin bingit dan masing-masing tidak mahu mengalah, secara tidak sengaja Senah yang tidak boleh tahan sabar lalu mencapai jam pasir itu dan menghempasnya ke lantai.

Harun terkaku, dia tidak menyangka Senah akan agresif sampai sebegitu. Dia berhenti dari terus melawan segala butir kata yang keluar dari mulut Senah.  Dia masih terkejut dan takut untuk tahu apa akan jadi selepas ini. Lalu dicapainya Edayu untuk disumbatkan didalam kotak di bilik mereka.

Lalu Harun mengalah dan dia terus menuju ke bilik mereka, dan menukar pakaian. Lebih baik dia tidur di tempat kerja, ada baiknya boleh melupakan sementara sengketa ini.

2 3 hari berlalu, tidak dijenguknya Senah makan atau tidak. Ego mengatasi segalanya..

Pagi keesokannya, celik sahaja matanya yang berpinar terkena cahaya pagi menembusi langsir bilik kerjanya. Harun meminta untuk pulang memandangkan dia mahu selesaikan hal ini dengan Senah.

Sampai sahaja di rumah, dia melihat di bilik mereka, Senah tiada, sudah pasti Senah tidur di bilik Edayu lagi semalaman. Pantas Harun kemas tempat tidur dan menuju ke dapur, dilihat isterinya sedang memangku anak patung itu. Tiba masanya untuk dia berbaik semula dengan Senah.

“Selamat pagi sayang, hm.. Terus terang abang cakap, abang dah penat pertahankan hubungan ini, tiada apa yang perlu abang lakukan untuk bahagiakan kita. Abang dah cuba kuatkan diri abang agar awak pun kuat sama. Tetapi sayang.. awak tak nak lalui bersama abang dah. Awak lebih rela bersama anak patung itu. Sayang, ini kali terakhir abang minta pada awak baik-baik, letak anak patung itu dalam kotak sekarang!”

“Apa yang abang maksudkan? Saya tak akan letak anak saya dalam kotak. Abang sudah gila!”

Harun bangun dan capai anak patung itu walaupun Senah mengenggam kemas.

“Mari sini! Kau keluar sekarang! Aku nak kau sedar!” hilang habis bahasa penyedap Harun, hatinya sudah cukup panas.

“Berhenti abang! Abang telah melukakan tangan saya,” rayu Senah apabila gengaman tangan Harun semakin kemas.

“Samalah macam kau buat dekat aku, dalam diam kau melukakan perasaan aku!” bentak Harun.

“Apa yang abang  mahu lakukan?”

“Aku mahu bawa kau keluar supaya kau dapat lihat apa yang terjadi sebenarnya pada anak patung kesayangan kau tu!”

“Tapi abang, itu Edayu bang. Dia anak kita bang..”

Saat Senah jejak sahaja ke luar beranda itu, Harun terkejut apabila isterinya itu bertukar menjadi anak patung dewasa sama seperti anaknya Edayu. Harun terlepas gengaman tangan Senah, dan Senah jatuh atas papan beranda rumahnya itu. Harun terlupa di saat pertengkaran  semalam, Senah merayu dengannya.

Jika Harun mengambil Edayu dan sorokkan Edayu di dalam kotak. Senah akan bunuh diri apabila anak patung itu tidak dijumpainya. Tanpa kesal dengan apa yang berlaku, Senah mengambil keputusan untuk mengelar urat nadinya di tangan semasa Harun tidak pulang ke rumah selama beberapa hari.

Harun kesal dengan apa yang dilakukannya pada Senah, pantas dibawanya Senah pada pagi itu juga berjumpa dengan Nek Maom.

Nek Maom mengelengkan kepala menandakan tidak suka dengan pertelingkahan yang terjadi diceritakan Harun pada dia.

“Saya mahu Senah kembali. Saya tetap inginkan dia,” jerit Harun, tidak putus diulangi ayat yang sama di hadapan Nek Maom.

“Baiklah kalau begitu, aku akan bantu tapi jangan kau pernah basuh baju ini dan rambutnya, malah tidak boleh sedikitpun cahaya matahari terkena pada tubuh patung Senah!” Nek Maom tegas memberi peringatan.

Harun terduduk di beranda itu apabila terngiang kembali amaran Nek Maom terhadapnya.

Dia mengangkat patung Senah itu dan memeluknya erat dan kembali masuk ke dalam rumah.

“Maafkan abang Senah. Abang kesal abang tidak jaga Senah sebaiknya,” keluh Harun.

Dikucupnya patung itu dengan harapan Senah kembali bernyawa. Biarlah Edayu pergi tetapi jangan Senah. Itu sahaja nadi buatnya untuk teruskan kehidupan.

Perlahan-lahan Senah kembali bernyawa dan membalas pelukan suaminya itu.

“Abang minta maaf sayang, abang tidak akan lukakan awak lagi,” ujar Harun tetapi dalam masa yang sama dia kesal kerana jam pasir itu sudah pecah kerana terlampau ikutkan kemarahannya. Kalau tidak sudah pasti keluarganya lengkap semula dan bahagia sehingga kini.

Tamat.

Sayang korang ketat melekat tau 🖤

Ulasan

Catatan Popular