FLY

FLY

Karya Oleh: ISKANDAR ZULFAQAR

(Cerita ini adalah kisah benar yang diceritakan oleh rumet saya. Katanya kisah-kisah ini berlaku di sekolah menengahnya dulu, iaitu sebuah sekolah berasrama penuh di ibu kota. Segala kredit adalah kepada orang yang melalui kejadian ini. Saya cuma ceritakan semula sahaja. Terima kasih!)

#Cerita 1: Kau Orang Betul Ke?

Seperti kebiasaan, empat sekawan, Hisham, Aidil, Azri dan Rizal bercadang untuk “fly” malam ini tatkala esoknya adalah hari Kantin Sekolah. Tiada proses pengajian dan pembelajaran berlaku pada keesokan hari. Jadi, apa salahnya kalau “fly” malam ni kan.

Oh ya, dalam dunia sekolah menengah berasrama, “fly” adalah merupakan satu istilah yang digunakan untuk membahasakan ponteng. Kiranya kalau orang cakap fly tu maksudnya ponteng lah. Hebat mana pun sesebuah sekolah asrama penuh itu, mesti akan ada kes ponteng. Betul tak?

Jadi, malam itu seperti yang dijanjikan, Hisham, Aidil, Azri dan Rizal pun dah bersiap untuk  keluar daripada kawasan sekolah dengan cara melompat pagar di bahagian belakang sekolah itu.

Namun, sebelum mereka berempat pergi, Aidil datang dan memaklumkan kepada mereka bahawa dia sakit perut. Masing-masing dah mula meradang. Mana tidaknya, kacau plan mereka saja si Aidil ni.

“Maaf la, weyh! Aku betul-betul sakit perut ni. Korang pergi dulu nanti aku menyusul,” kata Aidil.

Mendengarkan kata-kata Aidil, akhirnya mereka pun bersetuju. Mereka bertiga pun tanpa membuang masa segera berjalan menuju ke pintu pagar bahagian belakang sekolah itu.

Sebaik mereka tiba di situ, masing-masing tergamam. Mana tidaknya, Aidil dah pun tercegat berdiri di situ. Pelik! Baru tadi mereka jumpa dia di dorm. Dia kata dia sakit perut tapi sekarang macam mana dia boleh awal-awal lagi dah ada kat sini.

“Woi kenapa korang lambat sangat?” soal Aidil.

“Eh! Tadi kau kata sakit perut. Macam mana kau boleh ada di sini pulak?” soal Azri kehairanan.

“Eh, aku okay sajalah. Jomlah cepat!”

Orang lain semua rileks je lah tapi tidak Rizal. Rizal dah mula rasa tak sedap hati. Yelah macam mana dalam keadaan begitu cepat Aidil boleh sampai di sini. Padahal, mereka baru sahaja jumpa dia di dorm.

“Nanti dulu, kau betul-betul Aidil ke haa?” soal Rizal dengan berani.

“Ye betul, abang! Hi hi hi!”

Nada suara Aidil itu tiba-tiba sahaja berubah menjadi suara seorang perempuan yang sangat lunak sambil mengilai. Lemah semangat masing-masing. Apa lagi? Berterabur lah lari. Tak jadi juga plan mereka nak “fly” malam tu. Ini semua angkara Aidil palsu tersebut.

#Cerita2 : Keluar

Bob merupakan seorang pelajar yang sangat arif dalam selok-belok ponteng dari sekolah. Tambahan pula sekiranya untuk “fly” pada waktu malam, serah sahaja kepada si Bob ni. Memang dia tahu jalan paling selamat untuk menyeronot keluar.

Oleh sebab itulah, Bob sentiasa diajak sekali jika pelajar-pelajar sekolah itu mahu “fly”. Agak susah sebenarnya untuk mereka keluar daripada kawasan sekolah itu secara haram pada waktu malam.

Maklumlah, sekolah itu sekolah elit. Sekolah berasrama penuh yang berada dalam ranking Top 10 pencapaian akademiknya di Malaysia. Untuk jaga nama baik sekolah itu, pihak pengurusan sekolah telah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan pelajar-pelajarnya tidak ponteng sekolah. Usaha ini termasuklah meletakkan kamera litar tertutup CCTV di beberapa bahagian di sekolah itu.

Perkara ini telah menyebabkan pelajar sukar untuk ponteng sejak kamera itu diletakkan. Namun, itu tidak menjadi masalah bagi Bob. Dia ada usaha yang lagi hebat. Bob telah berjaya membuka satu laluan baharu untuk pelajar sekolah itu ponteng dengan cara menebuk pagar belakang sekolah itu.

Di belakang sekolah itu tidak terdapat CCTV tetapi dipagar dengan rawat besi. Bob telah berjaya merobek rawat besi itu dan membuat satu lubang besar untuk membolehkan mereka keluar melaluinya.

Namun, ada masalah sedikit kerana di luar kawasan sekolah iaitu sebaik keluar daripada lubang itu terdapat semak-samun yang sangat tebal. Hutan lalangnya setinggi paras pinggang. Oleh sebab itulah, jika sesiapa sahaja ingin “fly”, mereka akan gunakan khidmat Bob sebagai pemandu pelancong.

Bob pandai mencari laluan di dalam semak-samun itu dan membawa mereka keluar sehinggalah ke jalan besar dalam keadaan gelap malam.

Malam ini, Arez dan rakan-rakan yang semuanya Tingkatan 2 meminta tolong Bob menjadi pemandu pelancong mereka. Bob kini Tingkatan 4. Kiranya dia nak berkhidmat untuk tolong junior dia ponteng lah hahaha. Sebagai upah, mereka membayar Bob dengan harga RM10 setiap orang.

Mereka pun segera ke lubang yang dibuat pada rawat besi itu. Berbekalkan lampu suluh pada telefon Nokia 3310 yang malap, mereka jadikan lampu itu sebagai petunjuk jalan. Oleh kerana lubang itu bersaiz kecil dan lorong yang dibuat di dalam belukar juga agak kecil saiznya, jadi mereka semua bergerak dalam satu barisan.

Bob mengepalai barisan itu. Segalanya baik-baik sahaja. Namun, sebaik sahaja mencecah separuh perjalanan di dalam semak-samun itu, mereka terdengar bunyi seperti binatang besar berlari di sisi mereka.

“Abaikan benda tu! Aku tak nak sesiapa pun tengok di sebelah. Aku nak semua pandang depan sahaja!” Bob bertegas.

Namun, salah seorang daripada mereka iaitu Rikzi yang berada di kedudukan kedua paling belakang terasa ingin sekali melihat apakah bendanya itu. Dia menyangka itu mungkin kucing atau tikus yang berlari di dalam semak itu.

Rizki pun pantas menghalakan lampu daripada telefon bimbit Nokia 3310 ke arah semak-samun di sebelahnya. Ketika itu, Rizki menyesali perbuatannya. Sangkaannya bahawa itu cuma kucing atau tikus turut meleset sama sekali.

Di sisinya kini terdapat bungkusan persis bungkusan mayat dengan kain kafan yang sudah pun hampir mereput. Seluruh tubuh mayat itu dibalut rapi melainkan pada bahagian muka. Dengan bantuan cahaya malap daripada telefon bimbitnya, dia dapat lihat wajah buruk mayat itu sedang menyeringai ke arahnya.

“Pocongggggg!!!!!!” Rizki menjerit sekuat hati.

Rakan-rakannya yang lain turut sama melihat di sisi mereka. Pocong tersebut semakin galak berguling. Mereka semua pun apa lagi tunggu. Lintang-pukang lari menyeronot masuk semula ke dalam kawasan sekolah melalui lubang kecil itu. Keesokannya, kesemua mereka demam panas akibat terlampau takut.

Cerita 3: Adoi!

Azmi dan rakan-rakannya merancang untuk “fly” malam ini. Ini adalah merupakan kali pertama mereka ingin lakukan perbuatan tidak sihat seperti itu. Berbekalkan sedikit ilmu”fly” yang diperturunkan oleh para senior, mereka pun mulalah agenda mereka itu.

Malam itu pukul 2 pagi, mereka berjalan ke arah belakang bilik KH. Di belakang bilik itu ada pagar yang agak rendah dan mudah untuk dipanjat. Mereka pun segera panjat. Usaha punya usaha, akhirnya mereka berjaya.

Kesemua mereka gembira sebab berjaya pada percubaan pertama. Lalu, kesemua mereka berjalan pergi ke sebuah pusat membeli belah terkenal di situ. Di pusat beli-belah itu terdapat panggung wayang. Jadi, bolehlah mereka habiskan masa tengok wayang midnight movie.

Sebaik sahaja tiba di pusat beli-belah itu, mereka segera menuju ke panggung wayang yang terletak di tingkat paling atas pusat tersebut. Masing-masing seronok. Yelah, first time tengok wayang midnight dengan kawan-kawan. Mereka tidak sedar keseronokan mereka itu bakal berakhir.

Sebaik sahaja tiba di kaunter membeli tiket wayang tersebut, langkah mereka semua terhenti. Peluh kerisauan mulai terbit membasahi dahi. Tubuh mereka menggeletar ketakutan. Kaki mereka bagaikan tidak mampu untuk menampung tubuh masing-masing dek kerana ketakutan yang teramat.

Cikgu Zabidi, guru disiplin mereka sudah tercegat berdiri di situ. Celaka! Baru pertama kali cuba dah kantoi. Adoi!

-TAMAT-

Jika anda ada kisah seram/ mistik/ thriller/ seramedi, emelkan kepada kami di seram7dimensi.submitstory@gmail.com. Terima kasih!

Ulasan

Catatan Popular