Keretapi Alam Lain

Keretapi Alam Lain

Karya: Iskandar Zulfaqar

Semua daripada kita sebenarnya sudah terbiasa dengan keretapi bukan? Sejenis kenderaan yang paling digunakan sejak zaman kolonisasi lagi. Namun, berbeza di negara Thailand iaitu di sebuah wilayah, Chonburi, lagenda tentang keretapi alam sana sangat menarik untuk didengari.

Keretapi ini akan muncul hanya pada jam 3 pagi, seterusnya tidak akan berhenti di stesen keretapi wilayah itu melainkan ada yang menantinya. Jika berdasarkan cerita masyarakat wilayah itu, keretapi tersebut berwarna merah pekat seperti warna darah dan masih menggunakan arang sebagai bahan bakar untuk bergerak.

Keretapi terakhir yang akan melalui Stesen Keretapi Chonburi ke kota raya Bangkok adalah tidak melebihi jam 12 tengah malam, bermakna tiada transaksi keretapi yang melalui stesen tersebut selepas jam 12 tengah malam. Pada jam 3 pagi, akan ada sebuah keretapi berwarna merah pekat yang hanya membawa empat gerabak melalui stesen itu.

Dikatakan keretapi ini membawa roh-roh yang telah mati untuk bersiar-siar di alam ini. Ramai sudah yang mengakui berkesempatan melihat keretapi ini terutama sekali golongan pengawal keselamatan stesen keretapi itu.

Menurut mereka, keretapi ini bergerak pada kelajuan yang teramat bahkan mungkin hanya akan sekali hinggap di ekor mata orang yang berjaya melihatnya. Sekali pandang sahaja dan sebaik mata dikejip, keretapi itu terus hilang daripada pandangan.

Namun, sesiapa yang sering bercakap besar dan mencabar kewujudan keretapi itu, dikatakan keretapi tersebut akan berhenti betul-betul di hadapannya. Kemudian, penumpang-penumpang dalam keretapi itu akan mengajaknya untuk turut sama menaiki keretapi tersebut.

“Ah! Mengarut saja semua tu. Mana ada hantu naik keretapi? Kau ingat cerita kartun ke? Ha ha ha!” Hassan ketawa sebaik sahaja mendengar cerita tentang urban legend keretapi tersebut.

Hassan merupakan seorang pelajar daripada Malaysia yang menuntut di sebuah universiti di wilayah tersebut. Dia sememangnya merupakan seorang yang terlalu mengagungkan sains serta menolak kewujudan makhluk halus. Baginya, makhluk halus ini jelas sekali tidak wujud kerana tiada langsung tercatat teori yang membuktikan kewujudannya.

Bukan sahaja di Thailand, malah keika di Malaysia dahulu pun Hassan memang tidak percaya sama sekali dengan kewujudan hantu. Dahulu semasa dia di bangku sekolah rendah, pernah berlaku histeria besar-besaran di sekolahnya. Ramai warga sekolah yang terkena histeria sehingga menyebabkan murid-murid yang menghadiri tusyen malam tidak dibenarkan keluar ke tandas seorang diri.

Bagi Hassan, histeria itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah disebabkan stress. Oleh kerana sikap keras kepala Hassan yang tidak mahu menerima kewujudan hantu, dia selalu juga keluar daripada kelas seorang diri ketika waktu tusyen malam dijalankan.

Dia bukan sahaja pergi ke tandas tetapi juga merayau di sekitar kawasan sekolah. Tindakan Hassan itu telah diketahui oleh guru disiplin hingga menyebabkannya didenda. Nasib Hassan baik kerana dia tidak pernah diganggu walaupun mulutnya selalu celupar dan sifatnya yang berani terlebih.

“Kau tak boleh cakap macam tu. Kita kena hormati roh-roh yang telah mati. Mereka menggunakan keretapi itu untuk bersiar-siar di sekitar alam kita yang masih hidup,” kata Verapon yang merupakan rakan seuniversiti dengan Hassan.

“Ha ha ha! Itulah kamu ni percaya sangat benda-benda tak logik macam ni. Aku ingat orang Malaysia saja yang percaya benda-benda ni, tak sangka orang Thailand pun sama. Kau dengar sini Verapon, kita ni hidup di zaman moden, mana ada hantu semua ni. Khayalan sahaja. Jom kita pergi ke stesen api tu. Malam ni aku nak buktikan kepada kau bahawa keretapi itu hanya mitos.” Hassan mencabar Verapon untuk pergi melihat sendiri keretapi itu pada malam ini.

“Jangan macam tu, Hassan. Bahayalah!” Verapon resah.

“Janganlah jadi penakut sangat. Kau kena percaya cakap aku. Keretapi tu tak wujud pun. Mitos belaka semua tu. Aku tak kira. Malam ni kau kena juga ikut aku!” paksa Hassan.

Malam itu, mereka terus pergi ke stesen keretapi tersebut dengan tujuan untuk melihat sendiri kebenaran cerita orang ramai tentang wujudnya keretapi alam lain. Mereka menunggu di stesen tersebut sehinggalah tengah malam.

Hassan mengerling pada jam tangannya. Dilihatnya jarum jam sudah tepat menunjukkan pukul 3 pagi. Namun, tiada langsung kelibat keretapi akan melalui jalan itu. Hassan tersenyum. Inilah peluangnya untuk memperlekehkan Verapon yang terlalu mempercayai cerita karut-marut berkaitan hantu.

“Ha ha ha! Kau tengoklah, Verapon. Tiada langsung kelibat keretapi. Sunyi saja kawasan ni. Aku dah cakap kat kau jangan percaya benda yang tak masuk akal macam ni. Kan dah kena tipu. Masyarakat sini cuma nak popularkan tempat ini sahaja sebab itulah bermacam-macam cerita direka. Dah terbuktikan sekarang! Tiada pun keretapi alam lain tu.”

Namun, sebaik sahaja kata-kata Hassan itu habis terpacul keluar daripada mulutnya, tiba-tiba kedengaran serombong keretapi. Pelik betul! Keretapi zaman ini mana ada lagi yang menggunakan serombong yang mengeluarkan asap hasil daripada arang dibakar sebagai bahan api untuknya bergerak.

Verapon sudah tidak sedap duduk manakala Hassan pula terdiam. Mana tidaknya, di hadapan mereka kini berhenti sebuah keretapi lama yang masih menggunakan arang sebagai bahan baka untuk bergerak, berwarna merah pekat dan penuh dengan penumpang. Pintu keretapi itu dibuka.

Seorang gadis cantik lingkungan umur 20an turun daripada keretapi itu dan menghulurkan tangannya kepada Hassan sambil menguntum senyum.

“Ayuh bersama perjalanan kami. kamu akan menikmati segala keindahan yang belum pernah kamu rasai,” kata gadis itu.

“Jangan, Hassan!” Jangan ikut dia. Buruk padahnya nanti. Keretapi ini bukan daripada alam kita,” jerit Verapon.

“Ish kau ni! Perempuan secantik ni takkan hantu. Dah lah! Aku nak ikut dia.” Seraya itu, Hassan menyambut tangan gadis tersebut dan menaiki keretapi itu. Pintu keretapi ditutup rapat dan dengan sepantas kilat keretapi itu bergerak serta hilang daripada pandangan Verapon. Verapon pula hanya mampu berdiri tercegat sambil terkedu melihat apa yang terjadi.

Seminggu selepas kejadian itu, pihak polis Thailand giat menjalankan operasi mencari Hassan yang masih belum ditemui. Riuh juga di media-media yang membuat liputan tentang kehilangan seorang pelajar daripada Malaysia di negara itu. Melalui rakaman CCTV, dia terakhir dilihat di sebuah stesen keretapi di wilayah Chonburi bersama seorang rakannya yang merupakan warganegara Thailand.

Ulasan

Catatan Popular