THE SPECIAL ONE Episod 2

THE SPECIAL ONE

Chapter 2

Tuan Muhammad Faiz

Tahun 1984 ( Melaka)

"Jangan di biarkan rumah mu sunyi bagaikan kubur. Indahkan rumah kamu dengan kalimah Allah kerana itu salah satu perlindungan. Kalam Allah tiada satu pun yang tak hebat, setiap huruf al quran yang kamu sebut ada kelebihannya. Bagaimana untuk saya katakan, saya sendiri pun tak boleh nak cakap. Yang saya tahu, ilmuwan islam dahulu kala mencari apa saja tentang kehidupan dan teknologi dari Al Quran"

"Sedangkan kamu boleh menyanyi lagu nyanyian artis dan tidak peroleh apa-apa. Kenapa kamu tak nak baca apa-apa surah di dalam Al Quran tambahan pula sentiasa peroleh pahala" riak wajah Ustaz Sheikh Tarmizi tersenyum. Kuliah maghrib yang menerangkan tentang Al Quran dan kehidupan.

Sulaiman mendengar dengan kusyuk ceramah yang di sampaikan oleh Ustaz yang di jemput khas dari Acheh, Indonesia.

"Man, waktu isyak dah nak masuk. Sekejap lagi azan.." tegur Imam Kushairi dari arah belakang.

Sulaiman hanya menggangguk tanda mengerti. Penjelasan Ustaz tentang Al Quran dan Kehidupan di dengar dengan teliti. Mata Ustaz Sheikh Tarmizi seakan tak pernah lari dari melihat pandangan mata Sulaiman, seakan ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Tepukan bahu dari arah belakang oleh Imam Kushairi tanda kuliah maghrib telah pun tamat. Entah kenapa, Ustaz Sheikh Tarmizi melihat Sulaiman dengan penuh minat. Sulaiman membaca selawat sebelum memulakan azan waktu isyak

"Bismillahirahmanirahim.. Subhanallahi walhamdulillah walailahaillallah wallahuakhbar. WaLahaula Wala Quwata Illa Billah Hil Aliyil ‘Azim. Allahumma salli `ala muhammad,
Allahumma salli ala sayyidina muhammad wa ala alihi wa sahbihi wa sallim. Ya kareem, Ya Rahman, Ya Rahiim, Ya Allah. "

Ustaz Sheikh Tarmimi hanya memejamkan mata. Alunan suara Sulaiman saat mengalunkan selawat sebelum azan begitu merdu serta mengasyikkan.

"Semoga azan mu hingga ke arasy Allah, saudara" Ustaz Sheikh Tarmizi tersenyum sendiri.

Azan di laungkan menandakan sudah masuk waktu isyak, ramai anak muda dan orang tua berjalan memenuhi masjid untuk menunaikan solat jemaah. Sesudah selesai, Ustaz Sheikh Tarmizi duduk berhampiran tangga menuruni tangga. Sulaiman kebetulan bersiap untuk balik bertemu dengan Ustaz. Ustaz bangkit dan bersalaman dengan Sulaiman.

"Sulaiman?"

"Ya." Senyum Sulaiman.

"Tahniah. Awak dah jadi bapa dan semoga azan tadi sampai hingga ke arasy Allah. Apa nama anak kamu? " soal Ustaz Sheikh Tarmizi.

"Bagaimana Ustaz tahu?. Nama dia Muhammad Faiq" Sulaiman sedikit pelik.

"Oh, Imam Khusairi yang cakap kamu baru jadi ayah. Sedap nama anak kamu, Kamu jaga anak kamu baik-baik. Dia pasti akan jadi luar biasa" senyum Ustaz menepuk bahu Sulaiman sebelum meninggalkan Sulaiman terpinga-pinga.

"Apa maksud Ustaz?" Sulaiman tertanya-tanya sendiri sebelum tersenyum berjalan pulang.

***

Langkah kaki Sulaiman melalui jalan singkat bersebelahan kubur, bukanlah tidak mahu melalui jalan biasa tapi ia akan memakan masa yang agak lama. Sulaiman berjalan perlahan di bawah pokok kelapa, entah tiba-tiba matanya tertancap pada sesusuk tubuh berdiri tegak di bahagian belakang kubur yang menghadap laut. Terasa angin laut seakan menampar pipi Sulaiman lembut, langkah kakinya semakin laju tapi entah mengapa kakinya seakan tersekat tak mampu berjalan di atas pasir yang memutih bersebelahan tembol kubur. Peluh membasahi dahi Sulaiman, di cuba melafazkan ayat Al Quran tapi mulutnya seakan terkunci. Puas di cuba tapi tetap tak berdaya.

"Man, jangan berhenti berzikir dalam hati!" terdengar laungan dari arah belakang. Kelihatan Imam Khusairi dan Ustaz Sheikh Tarmizi berlari-lari anak mendekati Sulaiman.

Nafas Sulaiman turun naik, degupan jantungnya berdegup pantas. Zikir di baca di dalam hati untuk melepaskan diri, dengan satu tarikan kuat. Sulaiman berjaya melepaskan diri dari tanah yang bagaikan memerangkap kakinya. Lembaga hitam di hadapannya seakan marah dan cuba bergegas menuju ke arah laut.

Dengan pantas, Ustaz Sheikh Tarmizi membaca ayat Al Quran dengan tangan yang dimajukan ke depan seakan menyentap lembaga hitam yang cuba melarikan diri. Lembaga hitam jatuh terlentang, bunyi erangan seakan bergema meremangkan bulu roma Sulaiman yang seakan tersentak. Imam Kushairi menepuk bahu Sulaiman dengan membaca kalimah suci untuk menenangkannya dari gangguan makhluk halus.

Ustaz Sheikh Tarmizi membuka langkah silat aceh dan membaca selawat. Imam Khusairi turut tampil ke depan dengan membaca ayat kursi. Sulaiman yang pada mulanya teragak-agak terus membaca surah yunus bagi menghapuskan lembaga hitam. Sulaiman dan Ustaz Sheikh Tarmizi melompat serentak sebelum menampar kuat pasir pantai bagi melakukan ilmu pasak. Entah bagaimana tiba-tiba air laut bergelombang kuat, Sulaiman yang cuba bertahan terpelanting ke belakang. Kelihatan lembaga bertanduk besar muncul dari gelombang ombak kuat.

"ITU MILIK AKU!" Raungan suara bergema kuat. Jari berkuku hitam menunjuk tepat ke arah lembaga hitam kecil yang tak mampu bergerak.

Sulaiman tidak berdaya untuk bangkit kerana yang muncul dari sebalik lautan itu bukan tandingannya. Ustaz Sheikh Tarmizi hanya tersenyum.

"Dia milik Allah. Yang hidup pasti mati tiada kekal abadi, Duhai Jin Lautan"

"KAU MENCABAR AKU HAHAHA!. SEKUAT MANAKAH ILMU MU, WAHAI MANUSIA!." nada suara lembaga bertubuh tegap kedengaran angkuh.

Ustaz Sheikh Tarmizi bangkit berdiri dari keadaan sebentar tadi. Merenung ke arah makhluk tinggi dan besar di hadapannya.

"KAU HANYA SEBESAR ZARAH!. AKU BESAR, MAMPU MENGHANCURKAN MU SEKELIP MATA!"

"Aku tak takut kerana takut ku hanya pada sang pencipta, Allah. Apa kau lebih hebat dari Allah SWT padahal Dia jugalah menciptakan mu" senyum Ustaz Sheikh Tarmizi.

"KURANG AJAR!" Makhluk bertubuh tegap mulai bengis dan melangkah menuju ke arah Ustaz. Kakinya cuba memijak tubuh Ustaz tapi Ustaz terlebih dahulu mengelak sepantas kilat.

"Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): "Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar". Ustaz Sheikh Tarmizi membaca ayat dari surah Al Anfaal ayat 50.

Makhluk besar kelihatan berang dan bengis sebelum bertindak menghayun tangannya yang besar. Ustaz pantas mengelak wajahnya hanya tersenyum, umpama menambah bara di dalam api yang marak. Mulut lembaga besar terbuka luas sebelum mengeluarkan bebola api yang besar meluru ke arah Ustaz Sheikh Tarmizi.
"Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk yang diciptakan-Nya." nada suara Ustaz seakan membisik. Lengannya seakan menangkis serangan bebola api yang di luahkan mahkluk besar di hadapan matanya.

Bebola api seakan bertembung dengan sesuatu yang berwarna putih yang timbul di lengan Ustaz Sheikh Tarmizi. Sulaiman kelihatan terpegun dengan kehebatan Ustaz.

Dengan pantas, Ustaz Sheikh Tarmizi menghidu peluang yang terhidang. Saat kaki kanannya mendarat di atas tanah, Ustaz menginjakkan tubuhnya meluru ke bahagian bawah tubuh badan makhluk bertubuh tegap sebelum menjerit lantang kalimah Allah.

"La Hawla Wala Quwwata Illa Billah. Allahuakbar!"

Tumbukan Ustaz Sheikh Tarmizi tepat mengenai bawah tubuh makhluk bertubuh tegap. Ustaz Sheikh Tarmizi berpusing ke belakang dan mendarat di atas tanah dengan tangan kanannya menampar lembut tanah. Nafasnya tercungap-cungap tanda kepenatan yang amat sangat.

Makhluk besar kelihatan terpinga-pinga melihat telapak tangannya tanpa menyedari tubuhnya seakan mereput sedikit demi sedikit akibat tumbukan padu Ustaz. Ustaz Sheikh Tarmizi jatuh terduduk dan hanya melihat apa yang terjadi pada makhluk bertubuh besar.

"ARRGGHH!. MUSTAHIL AKU KALAH DENGAN MANUSIA!. TIDAK!. TIDAK!" Raungan makhluk bertubuh besar perlahan-lahan menghilang bagaikan serpihan bara yang terendam di dalam air. Makhluk kecil di hadapan mata turut hilang menjadi abu-abu hitam di bawa angin.

Imam Khusairi meluru ke arah Ustaz Sheikh Tarmizi dan memapahnya pulang ke rumah Sulaiman. Tubuhnya terasa lemah mungkin kerana faktor usia. Dia hnaya tersenyum dan meminta Sulaiman membawa Muhammad Faiq bertemu dengannya. Ustaz tersenyum melihat Muhammad Faiq yang kelihatan comel.

"Sebenarnya, mereka mahukan ini" terang Ustaz Sheikh Tarmizi menunjuk ke arah Faiq. Sebelum menyerahkan pada Imam Khusairi.

"Hah!. Kenapa pula?" Sulaiman agak terkejut dengan penerangan Ustaz Sheikh Tarmizi.

"Muhammad Faiq terlalu istimewa. Kelak satu hari nanti dia pasti akan menjadi pemimpin yang berakhlak dan orang berguna. Kamu jaga Faiq dengan didikan agama, ya" kata Ustaz Sheikh Tarmizi sebelum melabuhkan punggung di tepi penjuru tiang.

"Macam mana saya nak terap ilmu agama sedangkan saya sendiri masih lagi belajar dan belajar?" soal Sulaiman yang asyik melihat tubuh badan Faiq bagi melihat andai ada kata sesuatu yang istimewa seperti di katakan Ustaz Sheikh Tarmizi.

Suasana seakan sepi sendiri, Imam Khusairi dan Sulaiman asyik melayan Faiq. Sulaiman seakan pelik kerana suara Ustaz Sheikh Tarmizi tidak lagi kedengaran. Saat Sulaiman berpaling ke belakang, Sulaiman seakan tersentak. Kelibat Ustaz Sheikh Tarmizi tidak lagi kelihatan. Sulaiman memangku kembali Muhammad Faiq dan terus mengucup lembut dahinya.

"Ayah akan jaga Faiq sebaik boleh dengan didikan agama yang sempurna. Semoga Allah memberi keberkatan dunia dan akhirat pada Faiq" senyum Sulaiman sendiri.

"Eh, mana Ustaz pergi?" soal Imam Khusairi terpinga-pinga mencari di beranda rumah.

"Dah balik rasanya. Itu lah yang saya pelik, bukan tadi Ustaz macam sakit ke?. Tiba-tiba je hilang" senyum Sulaiman.

"Imam oh Imam, jomlah balik. Dah pukul berapa ni, esok saya nak balik dah. Saya kat bawah tengah cari selipar ni. Ingat saya ni apa boleh hilang-hilang ke" senyum Ustaz Sheikh Tarmizi sebelum ketawa sendiri.

Sulaiman dan Imam Khusairi hanya ketawa terbahak-bahak sebelum Imam Khusairi mengundurkan diri berjalan pulang menuju ke rumah Imam Khusairi.

"Semoga satu hari nanti, Faiq akan jadi yang teristimewa" kucup Maisarah. Sulaiman dan Maisarah berpeluk erat di samping Faiq di sisi. Sulaiman menutup pintu dengan membaca kalimah suci Allah.

Tamat Chapter Two

Adakah anda bercita-cita bergelar penulis?. Mempunyai karya dalam simpanan?. Thriller?, Seram?. Pschyo?. Mahupun Seramedi?. Hantarkan kepada kami di :

seram7dimensi.submitstory@gmail.com

*Kami akan membantu penulis sedaya yang boleh menggunakan secebis ilmu yang kami ada.

Yang baik dari Allah SWT, Yang buruk datangnya dari Admin Seram 7 DimensI.

Ulasan

Catatan Popular