THE SPECIAL ONE Episod 3 Final

THE SPECIAL ONE

Chapter 3

Tuan Muhammad Faiz

Tahun 1991 (Kuala Lumpur)

Faiq tersenyum melihat ibu dan ayahnya sebelum berjalan menuju ke sekolah rendah. Kehidupan Maisarah Jailani dan Sulaiman bertambah bahagia dengan kehadiran Puteri Iman sewaktu Faiq berumur 3 tahun. Keistimewaan yang di lihat pada Faiq semasa berumur 3 tahun, Faiq anak yang cepat untuk menghafal ayat-ayat Al Quran yang di ajar. Sulaiman agak kagum dengan kurniaan Allah. Faiq adalah yang istimewa di mata mereka berdua.

***

"Muhammad Faiq Bin Sulaiman" Cikgu Rohayu memanggil nama Faiq. Faiq bingkas bangkit dan mengangkat tangan.

"Saya cikgu" suara Faiq separuh menjerit menarik perhatian pelajar-pelajar lain. Mereka tersenyum melihat Faiq yang aktif dan tidak takut hadir berseorangan.

Cikgu Rohayu tersenyum melihat Faiq sebelum menghampirinya. Perlahan Cikgu Rohayu menunduk melihat ke arah Faiq.

"Selamat berkenalan, Faiq" senyum Cikgu.

Cikgu Rohayu kembali ke meja mengajar dan memanggil nama pelajar lain. Faiq pula melabuhkan punggung di atas kerusi sebelum melempar pandangannya ke luar tingkap. Faiq yang tidak mengerti apa-apa seakan terpaku saat melihat budak lelaki berpakaian compang-camping berteduh di bawah pokok. Wajahnya terlihat sedih, berlumuran tanah. Faiq merasa kasihan. Setiba waktu rehat, Faiq cuba mencari budak lelaki misteri di bawah pokok tapi tak berjumpa.

Dari jauh budak lelaki misteri tampak duduk di atas pangkin berdekatan stor lama. Faiq perlahan berjalan menghampiri sebelum duduk di tepi budak yang terlihat sunggul.

"Assalammualaikum.. Kenapa awak sedih?" Faiq memulakan bicara pada budak lelaki di sisinya.

Tiada sebarang suara kedengaran tapi jelas terdengar esak tangis budak lelaki itu. Faiq mendekatinya sehampir boleh.

"Awak kenapa sedih ni?" Faiq turut merasa sedih dengan tangisan budak lelaki di tepinya.

"Saya sejuk.. sejuk sangat. Awak.. tolong saya.." rayu budak lelaki di sisinya. Matanya melihat pondok kecil di tepinya.

"Kenapa?. Nak saya tolong apa?. Nanti saya cakap kat cikgu. Dah janganlah sedih" Faiq melemparkan senyuman.

Saat budak misteri menoleh ke arahnya, jelas terlihat darah merah mengalir membasahi pipi budak lelaki itu. Tapi Faiq sedikit pun tak takut.

"Kenapa awak menangis keluar darah?. Awak sakit ke?. Ada apa dalam stor tu?" soal Faiq.

Saat Faiq berbual bersama budak misteri, Cikgu Rohayu kehairanan melihat Faiq berbual sendirian. Perlahan Cikgu Rohayu mendekati Faiq.

"Faiq, kamu cakap dengan siapa tu?" soal Cikgu Rohayu dari arah belakang Faiq.

Entah kenapa tiba-tiba bulu roma Cikgu Rohayu merinding sendiri, langkah kakinya seakan berundur setapak ke belakang. Cikgu Rohayu dapat merasakan bagai ada sesuatu yang menemani Faiq. Terasa udara dingin menyentuh pipi Cikgu Rohayu.

"Eh, Cikgu. Kamal nak minta tolong, dia minta ambil sesuatu dalam stor" senyum Faiq sendiri.

"Kamal?" Cikgu Rohayu bermonolog sendiri. Dengan pantas meninggalkan Faiq sendiri. Faiq terpinga-pinga melihat Cikgu Rohayu tergesa-gesa memasuki bilik guru.

***

"Ustaz.. Ustaz..!" Cikgu Rohayu tercungap-cungap menuju ke meja Ustaz Darwish.

"Eh, kamu kenapa, Ayu?. Macam nampak hantu je?" Ustaz Darwish tersenyum melihat Cikgu Rohayu melepaskan lelah dengan kedua-dua telapak tangannya berada di atas meja.

Dada Cikgu Rohayu berdegup pantas. Perlahan dia menarik nafas supaya dapat mengatur percakapan saat dengan Ustaz Darwish.

"Kamal.."

"Kamal?. Kamal Ikram?" soal Ustaz Darwish.

"Bukan!. Kamal Naim, kes budak sekolah hilang" nada suara Cikgu Rohayu tersekat-sekat.

"Kamal Naim?. Bukan kes tu dah di tutup oleh pihak berkuasa memandang dia hilang tak di jumpai sampai sekarang?" Ustaz Darwish menerangkan pada Cikgu Rohayu mengenai kes kehilangan budak lelaki berumur 7 tahun beberapa belas tahun lepas.

"Saya tahu dia kat mana, stor lama!" tegas Cikgu Rohayu dengan tubuhnya sedikit menggigil.

***

Pihak pengurusan sekolah dan di sertai Ustaz Darwish menuju ke arah stor lama. Faiq hanya tersenyum melihat semua guru datang untuk membantu Kamal.

"Aku dah cakap, semua cikgu akan tolong nanti" Faiq melemparkan senyuman pada Kamal.

Kamal hanya berdiri tegak. Perlahan air mata darah mengalir membasahi pipi, pandangan mata Kamal terlihat sayu. Faiq menghampiri Kamal dan cuba memeluknya bagi menenangkan jiwa Kamal. Pelukan Faiq seakan tembus, Faiq sedikit pun tidak terkejut. Tapi pandangan matanya melihat tepat ke arah Kamal.

"Aku suka kawan dengan kau, Kamal. Walaupun kau bukan manusia biasa, aku tahu kau baik. Nanti kita jumpa lagi ya" senyum Faiq sendiri. Kamal melambai ke arahnya dengan senyuman manis sebelum hilang di bawa angin.

"Terima kasih.." nada suara Kamal kedengaran sayup di bawa udara.

Ustaz Darwish melihat Faiq dengan pandangan pelik begitu juga dengan Cikgu Rohayu.

"Macam kenal.."Ustaz Darwish bermonolog sendiri.

Mata mereka tidak berkedip saat melihat Faiq berjalan dengan senyuman lebar di wajahnya tanda gembira. Manakala Cikgu yang lain mencuba membuka pintu stor lama yang sudah berkarat. Saat kunci di pukul dengan tukul besar, bau hapak memenuhi ruang bilik.

Cikgu Rohayu terkejut melihat seakan ada ruang di bawah tanah. Cikgu Ismat membuka pintu besi menggunakan pencangkuk. Cikgu Ismat terkejut bukan kepalang saat melihat rangka tulang yang masih lengkap beruniform dalam ruang bawah tanah. Mata Cikgu Rohayu tertancap pada tanda nama 'Kamal Naim'

"Siapa Faiq?. Luar biasa budak ni?" Cikgu Rohayu bermonolog sendiri.

"Muhammmad Faiq Bin Sulaiman, Sulaiman Bin Kadir, Kadir Bin Taufiq, Taufiq Bin Bakar Mahmud. Tuan Guru Bakar Mahmud.. Baru saya ingat sekarang" senyum Ustaz Darwish melihat ke arah Cikgu Rohayu yang seakan memikirkan sesuatu.

"Ustaz kenal dengan Faiq?" soal Cikgu Rohayu ingin kepastian.

"Mana boleh tak kenal. Ayah saya menuntut dengan datuk moyang dia, Tuan Guru Bakar Mahmud. Bukan calang-calang orang. Tak mustahil dia mewarisi bakat nenek moyangnya" senyum Ustaz Darwish.

"Hmm..." Cikgu Rohayu hanya berdiam diri dan berlalu pergi meninggalkan guru yang lain menguruskan jenazah Kamal Naim.

***

Faiq tidak mempunyai ramai kawan memandangkan sikapnya yang pelik. Arul melihat Faiq dengan penuh minat, Arul perlahan bangkit menuju ke arah Faiq yang leka menulis sesuatu di dalam nota. Dengan pantas, Arul menyentap buku di hadapan mata Faiq.

"Apa yang kau lukis ni hehe.." Arul hanya ketawa sebelum melihat ke dalam buku yang di bawa Faiq.

"Haa.. Bagus. Yang dah hidup kawan dengan yang mati. Dua-dua hantu hahaha" Arul ketawa terbahak-bahak melihat gambar yabg di lukis Faiq. Kelihatan gambar Faiq dan Kamal melihat ke arah matahari yang terang bederang.

"Jangan kacau aku!" tegas Faiq. Tapi Arul sedikit pun tak mengendahkannya.

"Ada aku kisah ke?. Kau jangan cuba tinggikan suara!. Aku pukul nanti!"

"Pukullah, sekarang!" herdik Faiq dengan nada bengis. Warna matanya seakan merah menyala membuatkan Arul terkejut. Arul hanya diam sebelum melarikan diri, Faiq mencapai buku dan terus melukis dan melukis.

Tamat Chapter Three

Ulasan

Catatan Popular